Pemain tengah skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Danial Amier Norhisham, menganggap Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebagai peluang terbaik untuknya mengembangkan karier selepas mula mendapat kepercayaan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

Danial hanya dipanggil menyertai B-22 negara selepas Kim Swee mengambil alih pasukan itu pada awal Jun lalu.

Menjadi antara muka baru pasukan, pemain berusia 20 tahun ini berjaya menyerlahkan kemampuannya sebagai perancang tengah.

Buktinya, dia membarisi kesebelasan utama dalam dua perlawanan ketika siri persahabatan di China, tempoh hari.

"Walaupun dapat maklum balas yang positif, ia belum menjamin tempat saya dalam skuad ini.

"Bagi saya, ini peluang yang sangat baik bagi karier saya," jelas Danial.

Lahir dari produk Frenz United, Danial mula memikat hati Kim Swee selepas mendapat tempat dalam skuad Liga Super Felda United.

Situasi itu juga hadir selepas B. Satianathan mengambil alih The Fighters, Februari lalu, yang kemudian menyaksikan rombakan besar-besaran dilakukan pengendali itu pada pertengahan musim.