Pemain tengah skuad B-22 negara, Irfan Zakaria, bertekad membalas kepercayaan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee, dengan memberikan aksi terbaik dalam siri aksi persahabatan di China, dari 8 hingga 16 Jun ini.

Irfan dipanggil kembali ke skuad B-22 negara selepas pemain tengah dari Perak, Ahmad Khairul Anuar Zamri, mengalami kecederaan lutut.

Dia mahu mengambil kesempatan yang diberikan Kim Swee dengan mengukuhkan tempat dalam pasukan sehingga Sukan SEA Kuala Lumpur, dari 19 hingga 30 Ogos depan.

"Saya gembira dapat kembali ke dalam skuad.

"Saya dipanggil untuk membuktikan kemampuan beraksi dalam skuad B-22," ujarnya.

Selain Irfan, dua pemain lain yang turut dipanggil menguatkan pasukan adalah Sean Eugen Selvaraj dan L. Kalaiharasan dari Negeri Sembilan.

Selain posisi tengah, Irfan berupaya beraksi sebagai pertahanan tengah dan menyerahkan kepada Kim Swee dalam menentukan posisinya bersama pasukan.

Tiada masalah buat Irfan menyesuaikan diri dalam pasukan kerana sebelum ini, dia kerap dipanggil bekas pengendali, Frank Bernhardt.

"Semua pemain adalah rakan-rakan saya. Kami telah beraksi bersama sejak tahun lalu lagi.

"Jadi, tiada halangan untuk saya bergaul dan serasi bersama pasukan."