Atlet muay negara, Mohammed Mahmoud, terpaksa melupakan Sukan SEA Hanoi, November depan, demi menyara keluarga.

Ia jelas pengorbanan yang cukup besar sehingga sanggup mengetepikan impiannya sendiri.

'Jordan Boy' memulakan perniagaan pakaian terpakai sejak tahun lalu apabila negara dilanda COViD-19.

Setakat ini, perniagaannya dilakukan secara atas talian dan mula mendapatkan sambutan menggalakkan.

Justeru, sukar bagi Jordan Boy untuk meninggalkan pernigaan ini seandainya dia terpaksa menyertai kem latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) yang dilaksana secara kuarantin.

"Saya mengalami sedikit masalah keluarga.

"Gimnasium muay saya ditutup jadi saya tumpukan kepada perniagaan pakaian terpakai -- JTT.

"Kalau saya serahkan kepada orang lain untuk uruskan, takut mengganggu (perjalanan perniagaan) jadi saya terpaksa buat keputusan ini walaupun tidak pasti adakah ia satu tindakan yang betul atau tidak," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.

Begitupun, sekiranya temasya di Vietnam itu ditunda, Jordan Boy tidak menolak untuk membuat persiapan mewakili negara.