Enam pemain negara yang tidak mendapat pelepasan dalam pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 tahun bulan lalu kembali disenaraikan oleh jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur.

Enam pemain terbabit adalah Syamer Kutty Abba dan S. Kumaahran (Pulau Pinang), Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang) serta Safawi Rasid dan Haziq Nadzli (Johor Darul Ta'zim).

Menurut Kim Swee, dia mengambil keputusan menyenaraikan keenam-enam pemain itu serta pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Dominic Tan, kerana berasakan mereka masih yang terbaik buat pasukan B-23.

Namun, Kim Swee menjelaskan tiada jalan pintas buat mereka kerana dia masih perlu membuat penilaian terhadap prestasi serta kecergasan terkini pemain-pemain.

"Keenam-enam pemain ini merupakan tonggak penting.

"Saya memanggil seramai 27 pemain, dengan tujuh daripada mereka akan digugurkan.

"Kedudukan mereka bergantung dan akan dinilai ketika sesi latihan selama seminggu walaupun mereka adalah pemain penting," katanya.

Selain itu, Kim Swee menjelaskan dia sedia mengambil risiko menyenaraikan dua sahaja penjaga gol dalam skuad akhir ke Sukan SEA.

Ini bermakna salah seorang daripada tiga penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim, Haziq Nadzli dan Amierul Hakimi Awang, akan digugurkan.

"Saya hanya boleh menyenaraikan 20 pemain.

"Saya melihat posisi tertentu dan kemungkinan besar pemain yang berkemampuan beraksi dalam beberapa posisi akan mempunyai kelebihan.

"Tetapi, ini bergantung kepada prestasi mereka dalam sesi latihan selama seminggu nanti."

Antara pemain lain yang dipanggil:

Bahagian tengah
Amirul Hisyam Awang Kechik, Ariff Farhan Mohd Isa, Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari, Matthew Davies, Nor Azam Azih, Danial Amier Norhisham, Azriddin Rosli, Danial Ashraf Abdullah, Syazwan Andik dan Tommy Mawat Bada.;

Bahagian serangan:
Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Jafri Firdaus Chew, S. Kumaahran, Safawi Rasid, N. Thanabalan dan Sean Eugene Selvaraj.