Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan tarikh penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan diadakan pada 30 Ogos bagi menghormati sambutan Aidiladha yang dijangka jatuh pada 1 September.

Menurut Khairy, keputusan itu diambil berikutan ibadah wukuf jatuh pada 31 Ogos dan demi menghormati sensitiviti rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Justeru, jadual baru berkenaan akan turut membabitkan sedikit rombakan kepada beberapa acara sukan seperti bola sepak, ski air, terjun dan angkat berat.

Khairy, bagaimanapun, memberi jaminan kos membabitkan penukaran tarikh di papan iklan serta promosi lain berkaitan Sukan SEA akan berada pada tahap minimum serta tidak perlu diperbesarkan sebagai isu.

"Tarikh penutup Sukan SEA diawalkan sehari dari 31 kepada 30 Ogos.

"Ini bagi menghormati hari wukuf dan malam Raya Haji yang jatuh pada 31 Ogos.

"Oleh yang demikian, majlis penutup Sukan SEA akan diadakan pada 30 Ogos di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Dan akan ada beberapa pertukaran kepada beberapa jadual pertandingan bagi empat hingga lima jenis sukan, perkara tersebut sedang diusahakan oleh Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA di bawah Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar," katanya.