Jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Mohd Asyraaf Abdullah, menyifatkan pertemuan dengan India di Stadium Selayang esok menjadi kayu pengukur terbaik sebelum skuadnya mengharungi kempen Sukan SEA, bulan depan.

Aksi menentang India merupakan perlawanan keempat antarabangsa yang bakal ditempuhi skuad bola sepak wanita negara.

Anak buah Asyraaf mempamerkan prestasi meyakinkan dengan membenam Bangladesh 2-1, menumbangkan Singapura 4-0 sebelum seri 1-1 dengan Nepal dan bangkit menundukkan Nepal 4-1 di Sabah.

Justeru, bertemu India yang mengisi ranking ke-60 dunia, menjadi ujian terbaik buat barisan pemain negara bagi merealisasikan misi penting sekurang-kurangnya pingat gangsa mampu dicapai.

"Mereka berada di ranking ke-60 dan sekurang-kurangnya mereka menyamai Myanmar dan Filipina. Jadi, kami akan lihat keupayaan kami. Kami akan lihat kekuatan dan kelemahan kami.

"Kami menganggap perlawanan ini sangat penting dan sebahagian daripada kami akan mengejar misi sukar (dalam Sukan SEA) tetapi tidak mustahil," katanya.

Pertemuan dengan India juga penting buat barisan pemain untuk memikat hati Asyraaf kerana selepas aksi ini, senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA bakal dimuktamadkan.

Malaysia akan bertemu Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa terakhir pada 9 Ogos nanti, sebelum menentang Filipina pada 15 Ogos dalam aksi pembukaan tirai Sukan SEA 2017 di Shah Alam.