Pindaan tarikh majlis penutup Sukan SEA Kuala Lumpur membawa kepada perubahan tarikh perlawanan membabitkan sukan bola sepak, renang dan terjun di mana jadual pertandingan akan diawalkan sehari daripada tarikh asal.

Belum ada sebarang pengumuman rasmi, namun Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo mengesahkan, perubahan tarikh perlawanan beberapa sukan turut akan terkena tempias.

Menerusi mesyuarat yang diadakan di Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017 (MASOC) - satu pengumuman rasmi akan dibuat berhubung perubahan terkini selain penerimaan positif persatuan yang terlibat.

"Bola Sepak akan memulakan saingan pada 14 Ogos, manakala acara akuatik (Renang dan Terjun) juga perlu diadakan sehari lebih awal," kata Beng Choo.

Bola sepak, renang dan terjun antara sukan yang terpaksa mengalami perubahan tarikh perlawanan, turut mengambil kira kesesuaian bagi urusan penyiaran rasmi sepanjang penganjuran Sukan SEA 2017.

Tegas Beng Choo, perubahan ini langsung tidak menjejaskan sasaran negara untuk muncul juara bagi penganjuran edisi ini.