Pemanah recurve negara, S. Suresh, bertekad menggondol pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo malah sedia membuktikan skuad para memanah turut berupaya dijadikan sandaran pingat selain acara olahraga.

Atlet kelahiran Kuala Ketil, Kedah, itu mengesahkan kelayakannya ke temasya yang bermula pada 24 Ogos hingga 5 September depan apabila mara ke final acara recurve individu lelaki Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Hertogenbossch, Belanda, Jun tahun lalu.

Juara Dunia 2019 itu kemudian menyimpan hasrat menggunung itu demi menaikkan martabat sukan berkenaan selain daripada mengharumkan nama negara.

"Secara peribadinya saya memang mahu dapatkan pingat emas kerana Malaysia belum pernah memenanginya dalam Sukan Paralimpik.

"Saya perlu meraihnya demi menunjukkan sesuatu kepada negara," katanya dalam Nadi Weekend sebentar tadi.





Suresh tidak terganggu dengan label sebagai pilihan dalam Sukan Olimpik sambil memuji atlet para negara seperti Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie yang turut berpotensi meraih emas berlandaskan pencapaian dalam Kejohanan powerliftng Piala Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

"Saya kenal mereka secara peribadi dan saya rasa Bonnie dan Yee Khie mampu melakukannya dalam Sukan Paralimpik kelak sebab terkejut mereka mampu memenangi medal dan pecah rekod baru-baru ini."