Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, bergantung harap dengan tiga acara yang akan disertai Ridzuan Puzi dalam Sukan Para Asia Jakarta mampu menggantikan tiga emas yang dihasilkan Allahyarham Azlan Mat Lazim di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Edisi lalu, kelibat Ridzuan tenggelam dek kecemerlangan Azlan yang berada dalam klasifikasi sama apabula membawa pulang tiga emas.

Ketiadaaan Azlan dianggap berganti kerana sandaran terarah kepada Ridzuan menerusi tiga acara yang bakal disertainya, iaitu 100 dan 400 meter T37 selain acara lompat jauh T37.

Beliau masih yakin kecemerlangan 10 emas dapat dihasilkan menerusi olahraga dalam temasya Incheon 2014 mampu berulang di Jakarta biarpun tiga emas terhasil daripada Azlan yang sudah tiada ekoran kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.

"Saya harap Ridzuan dapat menggalas cabaran dalam acara-acara tersebut.

"Setakat ini, hanya Ridzuan menjadi sandaran kita ekoran masih ketiadaan atlet pelapis.

"Yang Yifei dari China selaku juara dunia merupakan pencabar utamanya.

"Yifei baru berusia 20-an sementara Ridzuan pula sudah mencecah 31 tahun. Oleh itu, saya harap Ridzuan mampu melakar kejutan," kata Jeganathan.

Harapan utama sudah pasti terarah kepada atlet para negara bertaraf dunia seperti Ziyad Zolkefli, Latif Romly, Siti Nor Radhiah Ismail dan Siti Noor Iasah Mohd Aripin.

Skuad olahraga para negara berlepas ke Jakarta awal pagi ini dengan masih memikul sandaran sebagai lubuk emas buat Malaysia dalam temasya kali ini.

Beberapa nama bakal diberi tumpuan seperti Muhamad Ashraf Haisham dan Mohd Afiq Ali Hanafiah sebagai senjata rahsia skuad olahraga negara.

"Afiq masih dalam proses pemulihan.

"Saya harap dalam tempoh lapan hari ini, dia mampu menghasilkan yang terbaik nanti," katanya lagi.