Penerjun veteran negara, Leong Mun Yee, mahu penampilan kelimanya di pentas Sukan Olimpik berakhir dengan kalungan pingat menjelang temasya di Tokyo bulan depan.

Persoalannya kini, berdasarkan prestasi semasa, adakah sasaran yang diletakkan itu merupakan sesuatu yang realistik?

Berdasarkan keputusan yang diperoleh Mun Yee dan gandingannya, Pandelela Rinong, dalam acara 10 meter platform seirama wanita Piala Dunia 2021, sasaran itu kelihatan sukar untuk dicapai.

Sebagai perbandingan, Pandelela dan Cheong Jun Hoong mencatatkan 344.34 mata ketika memenangi pingat Perak Sukan Olimpik Rio 2016 tetapi dalam Piala Dunia Terjun di Tokyo bulan lalu, gandingan Mun Yee dan Pandelela sekadar memperoleh 288.36 mata.

"Latihan kami berkembang dengan baik dan ia sudah mencapai sekitar 80 peratus, jadi dalam beberapa minggu ini, ia akan mencapai kemuncak," kata Mun Yee berbaki 23 hari menjelang Sukan Olimpik Tokyo.

"Untuk sukan terjun, kami memerlukan persiapan dalam jangka yang panjang dan badan juga perlu berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang kecederaan.

"Jika dapat meneruskan latihan seperti sekarang sepanjang tiga minggu ini dan tidak mengalami kecederaan, kami memang ada peluang untuk mendapatkan pingat.

"Kerana kami mempunyai kekuatan tersendiri tetapi pada masa sama, pesaing kami juga sama," katanya.

Mun Yee, 36, pernah menyertai Sukan Olimpik dalam edisi 2000, 2004, 2008, 2012 dan kini 2020.

Mengulas mengenai pencapaian itu, dia menambah: "Bukan mudah untuk layak ke Sukan Olimpik kerana sebelum ini, dalam acara saya, hanya tiga penerjun teratas dalam Kejohanan Dunia dan empat teratas dalam Piala Dunia akan layak.

"Saya rasa apa yang penting adalah anda perlu konsisten dan berusaha.

"Ini merupakan Sukan Olimpik terakhir saya, jadi secara peribadi, saya memang mahukan pingat.

"Memang saya dan Pandelela akan berusaha untuk mendapatkannya.

"Harap-harap sasaran saya akan tercapai kali ini," katanya.