Jurulatih memanah negara, Lee Jae-hyung, mengambil pendekatan positif terhadap peluang pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, untuk mencapai kejayaan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun tidak diletakkan harapan untuk membutirkan pingat buat kontinjen negara.

Sebaliknya, atlet daripada tiga jenis sukan iaitu berbasikal trek, badminton dan terjun diletakkan sebagai prospek untuk menyumbang pingat dalam edisi ke-32 temasya berprestij yang akan membuka tirainya 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Untuk rekod, Khairul Anuar ke Jepun dengan reputasi selaku pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2019.

"(Kontinjen) pemanah negara belum pernah memenangi medal dalam Sukan Olimpik.

"Andai kata pasukan lelaki negara layak dalam acara berpasukan, ia boleh meningkatkan peluang kami," kata Jae-hyung.




Jurulatih dari Korea Selatan itu juga menegaskan tekanan tetap ada buat Khairul Anuar untuk mengharungi cabaran walaupun situasi semasa tampak memihaknya bagi meraih pencapaian lebih dalam pada penampilan ketiga di pentas itu selepas edisi London 2012 dan Rio 2016.

"Tapi dalam (acara individu), memang susah nak cakap peluang Khairul Anuar.

"Biasanya belum tahu lagi siapa dalam kalangan pemanah di ranking 20 teratas yang akan menang (peluang terbuka).

"Memang susah (untuk diramalkan)."