Pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh, bertambah bersemangat menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila diangkat sebagai Ikon Belia Daerah Segamat, Johor, dan pengiktirafan itu telah diterima oleh keluarganya.

Pemanah berusia 21 tahun itu mengakui cukup gementar untuk bertanding dalam acara berpasukan campuran temasya yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos itu berikutan pencapaiannya yang sederhana, termasuk tidak pernah memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) mahupun kejohanan kebangsaan.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Daerah Segamat.

"Saya rasa amat gembira dan sememangnya menjadi penghormatan buat saya. Saya akan menjadi contoh yang baik buat semua belia.

"Ibu bapa menjadi sumber inspirasi kejayaan anak-anak. Saya akan terus memohon restu daripada mereka dalam arena memanah.

"Dalam kejohanan simulasi kelak, saya harap dapat melakar catatan terbaik peribadi supaya dapat bersedia dan beri saingan dalam Sukan Olimpik kelak," katanya yang merupakan pemenang perak Sukma 2018.