Sukan Asia: Skuad bola sepak negara sasar ke final

Penulis Jemputan
Mac 10, 2018 10:04 MYT
Pengurus skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, percaya dengan kemampuan skuad di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk tampil menyerlah dalam Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.
Keyakinannya itu berdasarkan kepada persembahan cemerlang yang dipamerkan Malaysia dalam Kejohanan AFC B-22 di China, Januari lalu.
Ketika itu, skuad negara mencipta sejarah mara ke suku akhir buat kali pertama sebelum perjuangan mereka disekat oleh Korea Selatan.
Lantas, pengalaman daripada kejohanan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin di samping Kim Swee kini berguru di Sepanyol bersama pembantunya, Brad Maloney.
"Kami sudah nampak kemampuan pasukan ini. Kami berharap dapat memberikan sepenuh kepercayaan kepada Kim Swee untuk menambah baik pasukan ini.
"Sudah tentu sasaran kami untuk mara ke final (Sukan Asia) apabila bertanding pada Ogos ini," katanya.
Skuad B-22 negara akan menyertai kejohanan jemputan di Indonesia pada penghujung bulan depan sebagai antara persiapan bagi menghadapi Sukan Asia.
Selain Malaysia dan tuan rumah, Indonesia, kejohanan itu juga akan disertai Bahrain dan Korea Selatan.
Jelas Yusoff lagi, barisan pemain yang akan membawa cabaran negara di sana nanti bakal diputuskan Kim Swee sekembalinya pengendali itu dari Sepanyol hujung bulan ini.
"Soal persiapan jurulatih dan pemain, saya fikir kami sudah titikberatkan. Kami mahu skuad ini mampu menjadi pencabar hebat di rantau ini," katanya.