Perancangan ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, dalam Sukan Asia Indonesia 2018 terjejas ekoran ketiadaan kelibat dua tonggak Pahang, Nor Azam Azih dan Matthew Davies, pada hari pertama pemain melaporkan diri di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.

Seramai 26 pemain melaporkan diri, termasuk rakan sepasukan mereka di Pahang, R. Kogileswaran dan Faisal Halim, yang tiada masalah.

Sudah pasti perkembangan itu menjejaskan persiapan yang diacaturkan Kim Swee, lebih-lebih lagi Nor Azam dan Davies merupakan tonggak penting semasa skuad yang mengharungi Kejohanan Piala AFC B-23 di China, Januari lalu.

Sehubungan itu, mereka diberikan tempoh sehingga Rabu ini untuk melaporkan diri sekiranya benar-benar ini memperkuatkan barisan negara dalam Sukan Asia nanti.

"Saya tidak pasti.

"Pihak pengurusan yang akan mengendalikan isu ini. Terpulang kepada persatuan dan pemain.

"Kami hanya mempunyai tiga hari untuk mengadakan sesi latihan dan jika mereka tidak hadir esok, maka saya menganggap bahawa mereka tidak berminat," kata Kim Swee.

Davies yang ditemui dalam Majlis Undian Piala Malaysia hari ini mendedahkan hanya akan akur dengan arahan majikannya, Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP), supaya tidak melaporkan diri.

"Saya menghormati keputusan kelab.

"Buat masa ini, saya tidak akan melaporkan diri kerana tertakluk kepada hak PBNP.

"Saya mempunyai kontrak dengan mereka," kata pertahanan itu.