Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan sasaran untuk layak ke pusingan kedua buat skuad bawah 23 tahun negara menjelang tugasan Sukan Asia Indonesia bulan depan walaupun Malaysia berada dalam kumpulan maut.

Skuad B-23 negara pada awalnya diundi bersama juara bertahan, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E, namun laluan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee tambah berliku apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) selaku pasukan handalan di rantau ini turut menjadi pencabar utama Malaysia.

Ia susulan undian semula yang diadakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membabitkan UAE dan Palestin selepas dua pasukan itu tercicir ketika undian terdahulu yang berlangsung di Jakarta.

"Kami telah berbincang dan sudah tentu untuk memasuki pusingan kedua. Itu sasaran kami walaupun sedar pasukan yang ada dalam kumpulan itu begitu kuat seperti Korea Selatan selaku juara Asia.

"Sasaran harus diletakkan lebih tinggi," ujar Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sementara itu, pengurus skuad B-23 kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, bersikap positif apabila menganggap sasaran itu sebagai cabaran kepada anak buah Kim Swee.

"Jangan disebabkan Malaysia tampak berada dalam kumpulan yang sukar, kita sudah mengalah sebelum pergi beraksi. Jadi, pemain-pemain perlu memiliki mentaliti kemenangan.

"Main dahulu dan biar keputusan di atas padang yang menentukan," tambah Yusoff.