Dua jurulatih berpengalaman mengambil pendirian berbeza dalam isu pelepasan pemain skuad B-23 negara dalam Sukan Asia Indonesia yang akan bertembung dengan saingan Piala Malaysia.

Dollah Salleh memilih jalan selamat apabila berkata segala keputusan akan dibuat oleh pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang diketuai Presiden, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

"Itu pihak atasan, saya tidak berani nak ulas," kata jurulatih Pahang itu.

Datuk K. Rajagobal pula lebih mengutamakan agenda negara walaupun sedar Rodney Akwensivie dan Jafri Firdaus Chew ada dalam perancangan skuad B-23 negara.

"Berbakti untuk negara adalah penting.

"Ini adalah Sukan Asia dan kami akan fikir kebaikannya.

"Kalau negara memerlukan khidmat kedua-dua pemain ini, kami akan melepaskan mereka," ujar Rajagobal.

Dalam undian awal tanpa Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Palestin, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E perlu berdepan juara bertahan, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain.