Penembak rifle negara, Mohd Lutfi Othman, akan memastikan pemilihannya ke Sukan Asia Indonesia sesuatu yang berbaloi bagi menepis tanggapan bahawa penembak senior, Ezuan Nasir Khan, lebih layak.

Lutfi enggan dirinya terus dibandingkan dengan Ezuan yang berpengalaman beraksi dalam Sukan Asia Incheon, empat tahun lalu, sebaliknya mereka telah mengharungi persaingan yang sihat untuk membuktikan kemampuan masing-masing sebelum dipilih ke Indonesia.

Malah, kejayaan memecahkan rekod kebangsaan milik Ezuan pada Januari lalu dengan catatan 623 mata dalam acara 10 meter air rifle membuktikan dirinya di landasan tepat bagi terus mencipta nama selepas kecewa diketepikan daripada Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Penembak berusia 24 tahun itu juga tidak mahu dilabel sekadar pelengkap ke temasya itu, apatah lagi selepas diletakkan dalam kategori B.

"Saya boleh katakan bahawa kami bersaing secara sihat. Jadi, pemilihan ini bergantung kepada jurulatih dan saya hanya melakukan yang terbaik.

"Jurulatih jelas memberi bantuan, terutamanya dalam aspek psikologi, di samping sumbangan daripada rakan sepasukan," katanya.

Pingat bukanlah sasaran utama Lutfi, sebaliknya ingin terus memperbaharui rekod kebangsaan selepas mempamerkan aksi konsisten dalam Kejohanan Trofi Chia Woh semalam yang merupakan fasa persiapan terakhir sebelum terbang ke Indonesia.

"Walaupun agak sukar untuk memenangi pingat di Indonesia, saya akan sentiasa lakukan yang terbaik. Saya membawa sasaran sendiri, iaitu meletakkan diri dalam kelompok lapan terbaik dan ke final.

"Persaingan pasti sengit dan saya hanya akan cuba mendapatkan persembahan terbaik daripada diri sendiri," ujarnya lagi.