Tekanan demi tekanan yang hadir menyaksikan Chef-de-Mission (CDM) ke Sukan Asia Indonesia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, akan membentangkan sasaran pingat kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Putrajaya, Isnin ini, sebelum pengumuman dibuat empat hari kemudian.

Azim sudah menerima statistik pencapaian atlet negara daripada Program Podium dan Kita Juara untuk membawa cabaran Malaysia di pentas Sukan Asia 2018.

Statistik itu akan dijadikan rujukan sebelum pengumuman rasmi dibuat ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang, 10 Ogos ini.

"Kami telah membuat temujanji dengan Menteri Belia dan Sukan agar sasaran ini dapat dibentangkan kepadanya," kata Azim.

Sasaran pingat Malaysia dalam Sukan Asia Indonesia 2018 menjadi perdebatan tatkala persoalan timbul sama ada mahu menamatkan cabaran dalam kelompok 10 negara terbaik atau sekadar mengatasi pencapaian lima emas di Incheon, empat tahun lalu.

Dalam masa sama, Azim juga menegaskan Program Podium yang berdepan pelbagai kritikan harus dilihat daripada banyak aspek sebelum diputus untuk dimansuhkan selepas wujud sesetengah pihak yang mahu program itu dikaji semula.

"Sekiranya kita mahu memansuhkan program ini, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) juga perlu dimansuhkan. Kemudian, kita lihat pentadbiran sukan daripada sudut yang baru dan bukan daripada sudut lama, sesuatu yang ke arah lebih positif," katanya.