Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman, percaya bahawa individu yang akan menggantikan kerusi panasnya akan dapat dikenal pasti dalam tempoh seminggu dua ini.

Biarpun tidak melibatkan diri dalam usaha tersebut, beliau yakin pemimpin-pemimpin baharu FAS akan dapat melaksanakan misi penting mereka, mendapatkan nakhoda yang diperlukan.

“Saya menaruh harapan tinggi yang mereka telah menemui calon tersebut -- calon yang sesuai, berminat dan komited untuk memimpin kecemerlangan bola sepak Sarawak.

“Dengan komitmen tersebut, beliau akan mencari jalan, usaha dan idea untuk menambah baik bola sepak di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Kuching, semalam.

Mengulas saranan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, supaya Sarawak membariskan lebih ramai pemain anak tempatan, Sudarsono berkata impian itu mungkin dapat dicapai dalam tempoh tiga empat tahun ini apabila pemain-pemain muda yang kini dalam program pembangunan telah bersedia untuk diketengahkan.

“Memang itu sudah menjadi cita-cita kami supaya suatu hari nanti, kami mempunyai satu pasukan Sarawak yang dianggotai oleh pemain-pemain tempatan kami sendiri, yang akan bergabung dengan pemain import.

“Kerana itulah, kami gigih memastikan program pembangunan berjalan lancar dan ini terpancar melalui penyediaan pasukan yang mewakili Sarawak untuk Kejohanan Piala Presiden dan kejohanan bawah 19 tahun,” katanya lagi.

"Selepas usaha kami dalam tiga empat tahun ini, sudah nampak bakat-bakat muda yang boleh mewakili pasukan senior dalam masa yang terdekat.

“Pada Sabtu lalu, ketika menentang Felda United di gelanggang lawan, dua daripada tiga gol yang dijaringkan Sarawak datangnya daripada pemain muda yang kami beri peluang.

“Kami telah memberi pendedahan yang baik kepada Tommu Mawat Bada dan Nur Shamie Iszuan agar mereka dapat memimpin pasukan baharu kelak,” kata Sudarsono, yang masih mengurusn pasukan Liga Super, Piala Presiden dan peringkat umur lain sehingga presiden baharu memulakan tugasnya.

Katanya, beliau bukan bermaksud untuk campur tangan dalam urusan yang seharusnya diketuai kepemimpinan baharu, namun ia adalah untuk memastikan segala program yang sedia ada dan penyertaan Sarawak dalam Liga Super tidak terganggu.