Pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal, meminta agar peminat bersabar jika mahu melihat kebangkitan semula bola sepak negara di persada antarabangsa selain berharap mereka memberikan sokongan penuh kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Subahan diberikan tanggungjawab menjadi pengurus pasukan sehari selepas pelantikan ketua jurulatih, Nelo Vingada, bersama skuad kebangsaan.

Jawatan itu bukanlah sesuatu yang asing kepada Subahan kerana pernah menjadi sebahagian daripada pasukan ketika menjuarai Piala AFF pada 2010.

"Sebenarnya, saya sudah lama tahu mengenai pemilihan ini tetapi saya rasa tanggungjawab saya mudah, sekadar memberikan bantuan sebaik mungkin kepada skuad kebangsaan.

"Bagi saya, kami tidak berdepan masalah, apatah lagi skuad kebangsaan dikendalikan jurulatih yang hebat seperti Nelo Vingada dan dibantu oleh jurulatih tempatan yang bagus, iaitu Tan Cheng Hoe," ujar Subahan.

Mengenai sasaran, Subahan mahu pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada, serta Presiden FAM, Tunku Ismail, diberikan masa sewajarnya membentuk skuad ampuh untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Bermain bukan sahaja untuk ganjaran atau mengejar sasaran peribadi. Mereka perlu bermain habis-habisan untuk maruah negara," tambahnya.