Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, mendakwa kerajaan negeri bertindak kejam apabila menolak permohonan persatuan itu berhubung isu bangunan Kompleks Sukan FAS di Puncak Alam, Selangor.

FAS pada 16 Februari lalu menghantar surat permohonan kepada kerajaan negeri agar tanah bangunan Akademi Bola Sepak Selangor Bawah 15 (B-15) Tahun dipindah milik dan didaftarkan atas nama FAS.

Begitupun, permohonan itu ditolak pada 15 Mac lalu dan ia memberi tamparan kepada FAS yang berhasrat menggunakan tempat itu untuk program akar umbi.

Subahan menegaskan perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan bangunan itu didakwa merupakan aset FAS menerusi perjanjian bersama sebelum ini.

"Ini satu tindakan yang cukup kejam.

"Saya berani cakap, FAS merupakan satu-satunya persatuan yang tidak mendapat bantuan sesen pun daripada kerajaan negeri.

"Dah la tidak bagi duit, malah aset pun dikebas... tidak diberi balik," katanya.

FAS hari ini menjalin kerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Kerjasama ini bagi mengiktiraf sistem NFDP di Selangor sebagai unit pembangunan bola sepak FAS dengan menamakan sekolah sukan negeri sebagai Akademi Elit Remaja FAS untuk pemain remaja 13 hingga 17 tahun.

"Semua program ini akan bekerjasama dengan pihak FAS.

"Kelapan-lapan pusat latihan ini akan bersama FAS dan juga di setiap negeri.

"Seterusnya, ia menjadi langkah kerjasama di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan NFDP."