Luis Suarez mengkritik Ronald Koeman kurang perwatakan sambil menyindir bekas presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, selepas memenangi gelaran LaLiga bersama Atletico Madrid.

Pemain berusia 34 tahun itu dibenarkan meninggalkan Barca secara kontroversi untuk menyertai pasukan seteru setempat, Atletico, selepas tempoh enam tahun penuh gemilangnya di Camp Nou.

Suarez memberikan respons dengan meledak 21 gol daam 32 perlawanan liga buat Atletico, termasuk dua gol dalam dua perlawanan liga terakhir menentang Osasuna dan Real Valladolid. Jaringannya ketika menentang Valladolid memastikan mahkota liga buat Atletico.

Penyerang kebangsaan Uruguay itu kerap meluahkan betapa dia terluka untuk meninggalkan Barca dan kini mula memberikan pandangan baru untuk meluahkan emosinya selepas Atletico muncul juara LaLiga.



Suarez berkata kepada El Partidazo de COPE: "Tangisan itu adalah tangisan kegembiraan. Ia disebabkan situasinya.

"Saya sentiasa berterima kasih kepada Barcelona dan tidak akan menentang Barcelona, mereka telah memberikan segala-galanya dan membenarkan saya ke tahap elit.

"Tetapi amat jelas presidennya (Bartomeu) memberitahu segala-galanya kepada media tanpa menghubungi saya.

"Kemudian pada ketika mereka mahu Leo (Messi) untuk kekal, mereka menggunakan saya untuk meyakinkannya, untuk bercakap dengan (Antoine) Griezmann -- jadi mengapa mereka tidak menghubungi saya apabila mereka mahu saya pergi?

"Atau mengapa jurulatih tidak datang berjumpa saya dan memberitahu saya bahawa dia tidak mahu mengharapkan saya kerana dia mahukan penyerang berbeza?

"Koeman beritahu saya bahawa saya tiada dalam perancangannya, kemudian dia berkata 'jika kami tidak dapat menyelesaikannya sehingga esok, anda kembali ke dalam perancangan saya dan saya mengharapkan anda untuk menentang Villarreal'.

"Saya dapat lihat lelaki itu tidak mempunyai perwatakan. Dia tidak cukup kuat untuk memberitahu saya yang saya tidak diperlukan. Keputusan itu (untuk menjual saya) adalah daripada lembaga pengarah.

"Tiada sesiapa (daripada pihak pengurusan Barca) mengucapkan tahniah kepada saya tetapi saya hampir menghantar satu gambar kepada mereka!" katanya.

Suarez menambah adalah "mustahil' untuk dia meninggalkan Atletico musim depan selepas kelab itu mengesahkan bahawa dia boleh kekal di sana untuk tahun kedua kontraknya jika dia mahu melakukannya.