BARCELONA 1 ATLETICO MADRID 1
(Barca mara dengan agregat 3-2)

Luis Suarez berkata dia dapat menghidu bakal dilayangkan kad merah dengan mendakwa itulah yang dihajati oleh pengadil selepas Barcelona terikat 1-1 dengan Atletico Madrid untuk melangkah ke perlawanan akhir Copa del Rey.


Selepas menjaringkan gol pembukaan di Nou Camp, Suarez mengutip kad kuning kedua selepas terlibat dengan perebutan bola di udara dengan Koke pada minit ke-90 dalam aksi pertemuan kedua separuh akhir, pagi tadi.

Keputusan itu memastikan Barca mara dengan agregat 3-2, namun Suarez bakal terlepas aksi final pada Mei nanti meskipun pemain antarabangsa Uruguay itu berharap pasukan juara bertahan itu akan membuat rayuan.

"Saya ketawakan nasib saya dibuang padang, ia sesuatu yang boleh diduga," kata Suarez kepada Gol.

"Itulah yang pengadil inginkan. Saya berang, ia langsung bukannya kekasaran.

"Seperti biasa, pengadil tidak memberi saya ruang untuk memberi penjelasan."

Barca dipaksa bekerja keras untuk memastikan kemenangan mereka yang turut menyaksikan Sergi Roberto dan Yannick Carrasco dibuang padang.

Pemain gantian, Kevin Gameiro, cuba menghidupkan peluang Atletico dengan menjaringkan gol ketika permainan berbaki tujuh minit selepas Suarez terlebih dahulu membuka tirai gol pada minit ke-43.

Penyerang Atletico, Antoine Griezmann, terlepas peluang awal apabila golnya pada separuh masa kedua dibatalkan kerana ofsaid.

"Kami sedar ini adalah perlawanan yang sukar dan kami perlu berjuang untuk mara ke final," tambah Suarez.