Luis Suarez menegaskan gaya telefon yang dilakukannya ketika meraikan jaringan dalam kemenangan 2-0 Atletico Madrid ke atas Barcelona awal pagi tadi bukanlah satu sindiran buat bekas ketua jurulatihnya, Ronald Koeman.

Suarez menemui sasaran buat juara bertahan LaLiga, Atletico, di Wanda Metropolitano, sekali gus meningkatkan tekanan buat pengendali Barca, Koeman.

Selepas menerima hantaran cantik Thomas Lemar pada minit ke-44, penyerang Uruguay itu kelihatan tenang sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gawang, Marc-Andre ter Stegen, bagi menjaringkan gol keempatnya musim ini.

Suarez kini telah menjaringkan gol ke atas kesemua 31 pasukan yang didepaninya dalam LaLiga dengan secara keseluruhan telah mengumpulkan 172 jaringan dalam liga divisyen utama Sepanyol berkenaan.

Pemain berusia 34 tahun itu tidak terus meraikan jaringannya, sebaliknya memohon maaf terlebih dahulu kepada penyokong bekas kelabnya itu, di mana dia menjaringkan 198 gol daripada 283 penampilan selain turut menghasilkan 97 bantuan gol.

Bagaimanapun, dia kemudian membuat gaya seperti sedang menggunakan telefon dan ia kelihatan seperti satu sindiran buat Koeman, yang memberitahu penyerang itu bahawa dia tiada dalam perancangannya selepas mengambil alih jawatan itu di Camp Nou pada Ogos 2020.

Tetapi Suarez berkata gaya yang dilakukannya itu merupakan satu gurauan sesama keluarganya.

"Saya sudah rancang apabila saya menjaringkan gol, saya mahu memohon maaf -- dengan penuh hormatnya, kasih sayang saya.

"(Gaya telefon itu) adalah buat mereka yang tahu saya masih memakai nombor dan telefon yang sama.

"Ia bukan untuk Koeman; saya bergurau dengan anak saya bahawa saya akan melakukannya," katanya.