URUGUAY 1 ARAB SAUDI 0

Uruguay mengesahkan laluan ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 selepas menundukkan Arab Saudi 1-0 dalam aksi kedua Kumpulan A di Rostov, sebentar tadi.


Selepas mengatasi Mesir 1-0 dalam aksi pertama, Uruguay mengekalkan gandingan Edinson Cavani dan Luis Suarez di barisan depan untuk merobek benteng lawan yang dibolosi lima kali sebelum ini.

Cavani hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan separuh voli pada minit ke-13, namun percubaan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu sekadar singgah ke tepi jaring gol.

Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba buat skuad bimbingan Oscar Tabarez itu apabila Suarez menyempurnakan bola sepakan sudut Carlos Sanchez dari sebelah kiri, sebelum melepaskan sepakan voli untuk menewaskan penjaga gol, Mohammed Al Owais, pada minit ke-23.

Arab Saudi yang dikendalikan oleh Juan Antonio Pizzi meraih peluang untuk menyamakan kedudukan enam minit kemudian selepas Diego Godin gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan kemas, namun percubaan Hattan Bahebri sekadar melewati palang gol.

Bersambung babak kedua, Uruguay melakukan dua pertukaran serentak selepas 14 minit tanpa sebarang jaringan.

Lucas Torreira dan Diego Laxalt dibawa masuk oleh Tabarez, namun wakil dari Amerika Selatan itu tetap buntu setiap kali tiba di depan gawang Arab Saudi.

Sanchez hampir melebarkan kedudukan tiga minit kemudian setelah menerima hantaran lintang dari Cavani, namun tandukan terbang pemain sayap itu melepasi palang gol tatkala Al Owais sudah tertewas.

Kemasukan Torreira juga memberikan impak kepada serangan Uruguay dan pemain yang menjadi buruan Arsenal itu pasti meletakkan nama dalam senarai penjaring sekiranya percubaan pemain tengah itu tidak mengenai badan Cavani pada minit ke-82.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan, membolehkan Uruguay mengutip mata keenam dan mengikut jejak langkah Russia ke pusingan kedua selepas pasukan tuan rumah itu membenam cabaran Mesir 3-1, semalam.