Stuttgart mengumumkan pembelian Denis Aogo dengan kontrak dua tahun.

Bek kiri berusia 30 tahun itu berhijrah ke Mercedes-Benz Arena selepas menghabiskan empat musim bersama FC Schalke.

"Saya tidak menghabiskan masa yang lama untuk mempertimbangkan tawaran daripada VfB, jadi saya sangat gembira sesi rundingan berjalan lancar," katanya menerusi laman rasmi kelab itu.

"Saya tidak sabar untuk memulakan sesi latihan bersama rakan sepasukan yang baru.

"Saya sudah beberapa kali beraksi di Stuttgart, jadi saya tahu senario di stadium cukup hebat. Ia juga antara faktor saya memilih untuk berhijrah."

Pengarah pemasaran, Jochen Rottgermann, menambah:"Kami berjaya mendapatkan khidmat pemain berpengalaman di peringkat kelab dan antarabangsa.

"Dia mengenali Bundesliga dengan baik, jadi dia tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Kami teruja berjaya meyakinkannya untuk menyertai kami."

Aogo -- yang pernah membuat 12 penampilan bersama Jerman -- bakal membuat penampilan pertama dalam aksi DFB-Pokal berdepan Energie Cottbus, Ahad ini.