Sturridge sudah kembali -- Klopp

Penulis Jemputan
September 19, 2018 02:20 MYT
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, percaya Daniel Sturridge berada di tahap terbaik dan memuji persembahan penyerang itu ketika berdepan Paris Saint-Germain (PSG).
Sturridge membuat penampilan pertama musim ini dengan membuka jaringan ketika mengatasi PSG 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.
Penyerang itu digantikan dengan Roberto Firmino, yang hadir sebagai pemain gantian kerana mengalami kecederaan mata dan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-91 di Anfield.
Klopp berkata beliau tidak pernah melihat Sturridge, yang mengalami banyak kecederaan sepanjang kariernya, kini berada di tahap terbaik.
"Persembahan terbaik daripada Sturridge," katanya.
"Tiga pemain tengah pasukan juga menampilkan aksi cemerlang sementara dua pemain sayap serta pemain nombor 9 memainkan peranan dalam memastikan taktikal dan perancangan kami berhasil.
"Saya memberitahu kepada Sturridge sebelum perlawanan bermula bahawa dia berada di tahap terbaik dan dia menampilkan aksi yang berkualiti untuk Liverpool.
"Kemudian Firmino diturunkan sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol kemenangan. Sebelum perlawanan bermula, dia memberitahu saya bahawa keadaan matanya sudah pulih dan mahu turun beraksi."
Liverpool mendahului perlawanan menerusi jaringan Sturridge dan James Milner sebelum PSG bangkit menyamakan kedudukan hasil gol Thomas Meunier dan Kylian Mbappe. Firmino memastikan tiga mata buat The Reds dengan gol pada penghujung permainan.