Pemain tengah AS Roma, Kevin Strootman, menggambarkan satu perasaan lega apabila rakan sepasukannya, Radja Nainggolan dan Daniele De Rossi, akhirnya menandatangani kontrak baru.

De Rossi yang merupakan kapten pasukan bersetuju dengan kontrak baru pada Mei selepas wujud spekulasi bahawa dia akan meninggalkan pasukan setelah berkhidmat lama bersama Giallorossi.

Nainggolan pula telah dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Milan dan Manchester United, namun menjawab segala berita itu dengan menurunkan tandatangan pada kontrak baru selama empat tahun dan ia memberi kelegaan kepada Strootman.

“Saya amat gembira apabila Nainggolan dan De Rossi kekal bersama Roma,” kata Strootman.

"De Rossi adalah kapten kami dan Nainggolan adalah seorang pemain yang menjadi rebutan banyak pasukan gergasi Eropah.

“Jelas sekali Roma menjalankan tugas dengan baik selepas berjaya mengekalkan dua pemain ini,” tambahnya.

Roma sebelum ini telah kehilangan beberapa pemain utama seperti Mohamed Salah, Antonio Rudiger dan Leoandro Paredes.