Pemain AS Roma, Kevin Strootman, berharap penghijrahan Antonio Rudiger ke Chelsea adalah perpindahan terakhir pemain yang keluar dari pasukannya.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam menyelesaikan perpindahan pertahanan Jerman itu dengan yuran mencecah EUR39 juta (RM191 juta).

Roma sebelum ini telah melepaskan Mohamed Salah ke Liverpool dan Leandro Paredes ke Zenit, ditambah dengan persaraan Francesco Totti.

Antara nama lain yang turut dikaitkan bakal meninggalkan Roma adalah Radja Nainggolan dan pertahanan, Kostas Manolas.

Strootman mengucapkan selamat maju jaya buat Rudiger, namun pemain tengah Belanda itu berharap tiada lagi pemain yang akan meninggalkan pasukannya selepas ini.

“Selamat maju jaya buat Antonio Rudiger bersama pasukan barunya,” tulis Strootman melalui akaun laman sosial Instagram miliknya.

“Saya akan merindui pertengkaran di padang latihan serta perbincangan di bilik persalinan,” tambahnya.

Selepas menyaksikan nama-nama besar meninggalkan pasukan, Roma tidak berdiam diri apabila mendapatkan muka-muka baru dalam usaha mencabar kejuaraan Serie A musim depan.

Rick Karsdorp, Bruno Peres, Lorenzo Pellegrini, Juan Jesus, Mario Rui, Hector Moreno, Maxime Gonalons dan Federico Fazio masing-masing telah melengkapkan perpindahan secara tetap ke dalam pasukan kendalian Eusebio Di Francesco itu.