Pengurus Stoke City, Mark Hughes, mendedahkan bahawa pasukannya akan turun menentang Chelsea malam ini berbekalkan seorang pertahanan tengah sahaja.

Ryan Shawcross dan Geoff Cameron masing-masing belum pulih daripada kecederaan manakala Kurt Zouma terikat dengan perjanjian untuk tidak beraksi berdepan majikan asalnya.

Hughes juga mengesahkan bekas pemain Spurs, Kevin Wimmer, masih bergelut dengan masalah kecergasan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika aksi menentang Bristol City bagi aksi Piala Liga, Selasa lalu.

Perkara itu menyaksikan hanya Bruno Martins Indi yang benar-benar bersedia untuk diturunkan menentang The Blues di Stadium Bet365.

"Kami melalui situasi sukar di bahagian bawah.

"Daripada senarai pertahanan senior, saya hanya memiliki seorang (Martins Indi) manakala Wimmer merupakan satu perjudian untuk menurunkannya kerana ia berisiko tinggi.

"Jelas sekali jika anda memiliki tiga atau empat pemain yang cedera dalam satu posisi, tidak banyak pilihan yang anda miliki dan kebetulan ia berlaku ketika menentang Chelsea di mana Zouma juga tidak boleh diturunkan. Kami agak tertekan pada waktu ini," kata Hughes.

Dalam masa sama, Hughes menyatakan kelegaan apabila Chelsea bersetuju untuk menjual Diego Costa kerana tidak perlu berdepan aksi hebat penyerang Sepanyol itu lagi.

"Saya tidak tahu sejauh mana kesannya, tetapi apa yang saya nampak, penghijrahannya ke Atletico merupakan satu kehilangan buat Liga Inggeris.

"Costa adalah pemain yang hebat dan menyaksikannya bermain adalah sesuatu yang menyeronokkan."