Legenda Barcelona, Hristo Stoichkov, berasakan pengendali Sevilla, Jorge Sampaoli merupakan calon tepat untuk menggantikan Luis Enrique di Camp Nou.

Enrique mengumumkan selepas kemenangan 6-1 ke atas Sporting Gijon, Rabu lalu, bahawa dia tidak akan menyambung kontraknya yang akan berakhir Jun ini.

Ronald Koeman, Mauricio Pochettino dan Ernesto Valverde adalah antara yang disebut-sebut sebagai pengganti.

Namun, Stoichkov percaya Sampaoli merupakan calon tepat selepas meraikan kejayaan bersama Chile dan kini Sevilla -- yang menduduki tempat ketiga dalam LaLiga, dua mata di belakang Barca.

"Jika saya yang membuat keputusan, saya mahu Sampaoli menjadi jurulatih Barcelona," Stoichkov bercakap kepada Diario Ole.

"Dia memiliki mentaliti untuk mengejar kejuaraan.

"Bagaimanapun, ia adalah keputusan yang harus diambil serius."

Ketika media mengajukan soalan kepada Sampaoli kelmarin, dia menegaskan bahawa dia akan kekal dengan projek Sevilla sampai 'mati'.