Penyerang Manchester City, Raheem Sterling, bakal terlepas saingan bersama England berdepan Sepanyol dan Switzerland kerana mengalami kecederaan belakang.

Pemain berusia 23 tahun itu menarik diri daripada The Three Lions selepas 22 pemain menyertai kem latihan di St George's Park.

Ketiadaan Sterling menjadi tamparan buat Gareth Southgate di sebalik persoalan mengenai rekodnya dalam saingan antarabangsa.

Dia hanya menjaringkan dua gol dalam 44 penampilan dan gagal untuk meledak sebarang jaringan dalam Piala Dunia Russia.

Bagaimanapun, penyerang itu kekal sebagai pilihan utama Southgate dan bermula cemerlang bagi musim 2018-19, dengan mencipta dua gol dalam empat penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan keduanya hadir ketika City berdepan Newcastle United dan beraksi selama 90 minit.

"Sterling telah menarik diri daripada skuad kerana mengalami kecederaan belakang dan tidak akan digantikan dengan mana-mana pemain," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak England (FA).

Southgate kini sudah kekurangan pilihan berikutan keputusan Jamie Vardy untuk tidak beraksi dalam saingan antarabangsa.

England akan membuka kempen Liga Negara-Negara berdepan Sepanyol di Wembley pada Sabtu ini, dengan aksi persahabatan berdepan Switzerland di Stadium King Power, tiga hari berikutnya.