Raheem Sterling memuji England kerana menemui sesuatu dalam diri mereka selepas dia menjaringkan sepakan penalti pada lewat permainan untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Iceland dalam Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu bergelut untuk menewaskan lawan itu, yang turut pernah mengaibkan skuad Three Lions berkenaan dalam Euro 2016.

Layangan kad merah buat Kyle Walker pada minit ke-70 merumitkan lagi keadaan itu tetapi Sverrir Ingason turut berdepan nasib sama selepas menghalang percubaan Sterling menggunakan tangan.

Dengan ketiadaan Harry Kane, yang digantikan dengan muka baru, Mason Greenwood, tugas mengambil sepakan penalti itu jatuh ke bahu Sterling tetapi dia tidak berdepan masalah untuk menggegarkan jaring lawan menerusi sepakan leretnya.

"Sebaik sahaja saya memegang bola itu, saya terus katakan 'leret ke bahagian tengah'," katanya kepada Sky Sports.

"Ia sudah minit ke-90 dan saya tahu penjaga gol tidak akan kekal di bahagian tengah, jadi saya agak yakin," katanya.

England kemudian hampir mensia-siakan pendahuluan itu apabila Joe Gomez menjatuhkan pemain gantian, Holmbert Fridjonsson, di dalam kotak penalti.

Birkir Bjarnason gagal menyempurnakan peluang itu dengan sepakannya tersasar jauh untuk perlawanan itu berakhir memihak England.

"Kami sedar ia sesuatu yang sukar dan kami perlu mencabar diri, mencari sesuatu yang ada dalam diri kami.

"Kami berfikir jika ada sesuatu yang luar biasa berlaku -- kami tidak menjangkakan kad merah itu -- kami terus bermain dengan cara kami.

"Kami mencuba untuk memecah kebuntuan, kami mencuba untuk mencipta peluang, kami terus kompak. Kami memperoleh sepakan penalti pada akhirnya.

"Kami tidak sepatutnya memberikan sepakan penalti kepada mereka tetapi kami amat bertuah pada penghujung permainan," katanya lagi.