Hugo Lloris menegaskan kepada pemain-pemain Tottenham serta penyokong untuk melupakan penyingkiran daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) kepada Juventus dengan meletakkan keutamaan kepada Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

Tottenham mula bermimpi untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Eropah buat kali pertama dalam tempoh lima tahun ketika Son Heung-min memberikan gol pendahuluan dalam aksi timbal balik di Wembley tetapi dua jaringan Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala meleburkan harapan skuad kendalian Pochettino itu.

Kekalahan itu menyaksikan Spurs berbaki sembilan perlawanan dalam saingan EPL dan menghadapi aksi suku akhir Piala FA berdepan Swansea City serta meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan liga sebaik mungkin.

Penjaga gol, Lloris, memberitahu laman web rasmi, "Kemenangan menjadi motivasi sesebuah pasukan dalam bola sepak tetapi penyingkiran ini ternyata mengecewakan.

"Tumpuan kami kini terarah kepada saingan Piala FA dan berusaha untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik liga. Kami mahu kembali beraksi dalam UCL.

"Kami akan belajar daripada kekecewaan ini. Kami masih lagi muda dalam saingan UCL. Juve menggunakan pengalaman untuk mengatasi kami," ujarnya lagi.