TOTTENHAM 1 NEWCASTLE UNITED 0

Tottenham Hotspur merampas tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan kesilapan Martin Dubravka yang membenarkan rembatan Son Heung-min melepasi bawah badannya untuk jaringan tunggal ke atas Newcastle United, sebentar tadi.


Selepas mempamerkan kebangkitan untuk membenam Watford pertengahan minggu lalu, Spurs menguasai pelawat sepanjang aksi di Wembley itu tetapi barisan bimbingan Mauricio Pochettino itu bergelut untuk menemui sentuhan penyudah ekoran ketiadaan dua tonggak yang tercedera, Harry Kane dan Dele Alli.

Lucas Moura, yang memulakan aksi dengan mengambil peranan Kane untuk menerajui bahagian serangan, sering mencetuskan ancaman terhadap Newcastle yang gemar berkubu di kawasan sendiri sementara gandingan Salomon Rondon dan Ayoze Perez pula tidak kurang hebatnya dalam usaha memburu gol buat Newcastle.

Newcastle meniti landasan untuk mencatat tiga perlawanan liga tanpa kalah, namun rembatan Son dari luar kotak penalti pada minit ke-83 melepasi tampanan yang cuba dilakukan Dubravka, sekali gus terus menyalakan harapan Spurs untuk terus mencabar kejuaraan.