Lionel Messi telah sah meninggalkan Barcelona sebaik memberikan ucapan perpisahannya dalam sidang media semalam.

Paris Saint-Germain (PSG) kini dikaitkan sebagai destinasi pilihan buat pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu.

Pemain kebangsaan Argentina berkenaan mengakui bahawa dia mungkin akan menyertai PSG tetapi berkata segala-galanya masih belum ada pengesahan.

"Messi dijadualkan untuk menjalani ujian perubatan dengan PSG hari ini sebelum melengkapkan perpindahan daripada Barcelona," demikian dilaporkan L'Equipe.

Laporan itu turut mendakwa PSG dan Messi sudah hampir memutlakkan satu kesepakatan mengenai perincian terakhir kontraknya, sambil ESPN pula melaporkan pemain terbaik dunia itu akan diperkenalkan dalam satu majlis istimewa di Menara Eiffel minggu ini.