Adakah saga mengenai masa depan Lionel Messi di Camp Nou akan berakhir?

Kontrak Messi bersama pasukan gergasi LaLiga, Barcelona, akan tamat pada hujung minggu ini dan pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or berkenaan sedang hangat dikaitkan dengan satu perpindahan.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan terbaru, bintang dunia itu dikhabarkan hampir pasti untuk melanjutkan tempohnya bersama Barca.

"Barcelona sedang bersedia untuk mengumumkan kesepakatan baru yang telah dicapai bersama Messi," demikian dilaporkan Football Espana dan wartawan sukan terkemuka, Fabrizio Romano.

Kapten Barca itu sebelum ini dikaitkan untuk menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dan pasukan gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Namun, Messi kini dikatakan sudah bersedia untuk memeterai kontrak lajutan selama dua tahun di Barca, tempat di mana pemain berusia 34 tahun itu telah menghabiskan keseluruhan karier seniornya.