Penjaga gol Everton, Jordan Pickford, berkata dia tidak terkesan dengan spekulasi melibatkan dirinya dengan perpindahan meninggalkan Goodison Park sebelum menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Pemain kebangsaan England itu bersetuju dengan kontrak selama enam tahun untuk kekal bersama Everton selepas beraksi selama semusim, sekali gus menjadi penjaga gol termahal Britain apabila berhijrah menyertai kelab Merseyside itu daripada Sunderland dengan yuran GBP30 juta.

Aksi cemerlang Pickford bersama The Three Lions dalam Piala Dunia Russia memperkuatkan spekulasi bahawa dia akan menyertai Chelsea tetapi dia memberitahu komitmennya terhadap Everton tidak pernah goyah.

"Anda hanya perlu tampilkan aksi cemerlang," kata Pickford.

"Anda perlu memastikan ia tidak memberikan kesan kepada persembahan anda -- walaupun menyedari ia sekadar spekulasi. Saya cuba memberikan fokus kepada setiap perlawanan."

Persembahan Pickford bagi musim 2017-18 adalah penting buat Everton yang menamatkan saingan di tangga kelapan selepas mengharungi musim yang mengecewakan.

Aksi konsistennya memberikan persembahan sulung bersama England pada November 2017 dan pada penghujung musim, Pickford merupakan pilihan utama Gareth Southgate.

"Berhijrah ke Everton musim lalu dan membenarkan prestasi saya untuk meningkat membolehkan saya dipilih sebagai penjaga gol utama England ke Piala Dunia.

"Saya akan terus bekerja keras bersama Everton. Saya berharap dapat mengekalkan persembahan ini," ujarnya lagi.