“Berdepan PKNS akan menjadi medan kebangkitan saya bersama Melaka,” demikian azam pemenang kasut emas Liga Perdana musim lalu, Ilija Spasojevic, yang berasa sangat kecewa selepas gagal meledak sebarang jaringan dalam tiga aksi Liga Super.

Ura-ura mengatakan penyerang berasal dari Montenegro ini ada mendapat surat amaran daripada Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) di atas kehambaran prestasi semasa.

Namun, Spasojevic ketika ditemui tidak gusar dengan perkembangan berkenaan, sebaliknya menjadikan ia sebagai motivasi buat dirinya untuk berusaha lebih lagi dalam perlawanan akan datang.

"Ada kala, gol mudah berjaya dihasilkan dan terdapat masa sukar untuk menjaringkan gol. Apa yang penting adalah untuk mengekalkan tahap kekuatan mental, terus bekerja keras dan tidak berputus asa," ujarnya.

Dia menyedari harapan penyokong yang mahu melihat kemenangan pertama Melaka musim ini semakin meninggi, tambahan mereka baharu sahaja dikejutkan T-Team di laman sendiri, Sabtu lalu.

Jujur turut berkongsi perasaan sama seperti mana penyokong, Spasojevic dan rakan-rakan sudah mengadakan perbincangan mendalam untuk memperbaiki kelemahan pasukan sebelum menghadapi PKNS.

"Ini merupakan perlawanan yang penting buat kami. Walaupun saingan liga adalah keutamaan kami, Melaka United akan memastikan persembahan yang terbaik di Stadium Hang Jebat nanti."