Spasojevic harap diturunkan berdepan Pulau Pinang

Shaiful Shamsudin
Mac 1, 2017 01:49 MYT
Menjelang aksi Liga Super menentang Pulau Pinang malam ini, kapten Melaka United, Ilija Spasojevic, masih belum pasti dapat diturunkan kerana perlu mendapat pelepasan pegawai perubatan mengenai tahap kecergasannya.
Spasojevic dilaporkan mengalami kecederaan hamstring sejak minggu lalu, justeru dia tidak diturunkan ketika melayani kunjungan Pahang di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.
Walaupun kini mengakui sudah pulih daripada kecederaan itu dan tidak lagi mengalami sebarang kesakitan, dia masih perlu mendapat pelepasan pegawai perubatan untuk mengesahkan tahap kecergasannya.
Namun, jika keadaan tidak berpihak kepadanya, ia pasti mencetuskan kebimbangan buat pengendali Melaka, Eric Wiliiams, memandangkan Spasojevic juga adalah antara ayam tambatan di barisan hadapan skuad Hang Tuah.
"Sejak Khamis minggu lepas, saya berdepan masalah kecederaan hamstring kaki kiri yang menghalang saya untuk tampil ketika menentang Pahang.
"Keadaan saya kini semakin pulih, saya harap dapat beraksi (malam ini). Tetapi segala keputusan terletak kepada doktor pasukan dan jurulatih," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Spasojevic juga mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak terlalu memandang rendah kemampuan Pulau Pinang biarpun lawan kini terperosok di tangga tercorot liga.
Selepas mengharungi enam perlawanan, prestasi Melaka boleh dianggap sederhana memandangkan mereka kini di tangga ketujuh liga dengan mengutip tujuh mata.
"Saya lihat Pulau Pinang cuma tidak bernasib baik dan bukan sebuah pasukan yang tiada kualiti.
"Mereka tetap ada pemain-pemain yang bagus. Jadi, kami perlu berwaspada dan menghormati mereka.
"Tentu sahaja kami tidak takut dengan mana-mana pasukan dalam liga ini tapi kami tidak boleh memandang rendah kepada lawan kami.
"Kami pasti akan tampil dengan aksi 100 peratus."
#liga super #bola sepak #Melaka United #Pulau Pinang #Ilija Spasojevic