Jurulatih Inter, Luciano Spalletti, mengesahkan kelab itu berminat untuk membawa masuk pertahanan Atletico Madrid, Sime Vrsaljko.

Laporan menyatakan kelab Nerazzurri itu hampir mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Croatia itu yang membintangi saingan Piala Dunia hingga aksi final buat kali pertama dalam sejarah.

Tawaran itu mampu mencetus kejutan selepas Vrsaljko telah melanjutkan kontrak bersama kelab berkenaan, Februari lalu.

"Kami menggemari Vrsaljko. Kelab sedang berusaha mendapatkan pemain itu. Dia akan menjadi penambahan yang baik buat pasukan menjelang saingan yang bakal bermula tidak lama lagi," katanya.

Inter telah menjalani jendela perpindahan yang sibuk setakat ini, dengan membawa masuk bintang seperti Radja Nainggolan, Lautaro Martinez dan Matteo Politano.

Mereka juga telah menyempurnakan perpindahan percuma Kwadwo Asamoah dan Stefan de Vrij daripada seteru Serie A, Juventus dan Roma, ketika mereka sedang membuat persiapan beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama sejak 2011-12.