Luciano Spalletti tidak mahu dirinya dibandingkan dengan bekas pengurus Inter Milan, Jose Mourinho, walaupun memimpin pasukannya mengharungi permulaan cemerlang dalam saingan Serie A musim ini.

Skuad Nerazzurri gagal menjulang gelaran Scudetto selepas kali terakhir melakukannya ketika kejayaan 'treble' di bawah bimbingan Mourinho pada musim 2009/10, namun menunjukkan aksi yang positif pada musim ini.

Ia merupakan musim pertama Spalletti di San Siro dan kini berada dua mata di belakang pendahulu liga, Napoli.

Spalletti menyifatkan persembahan terbaik itu hadir daripada pemain-pemain dan penyokong, sambil menyifatkan kariernya bersama Inter baru sahaja bermula.

"Membandingkan saya dengan Mourinho atau Giovanni Trapattoni adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan ia bukan sahaja kerana apa yang telah mereka raih di sini.

"Apa yang Mourinho lakukan di sini adalah sesuatu yang terlalu besar sementara saya baru sahaja bermula.

"Apa yang boleh dibandingkan ketika ini adalah penyokong. Mereka menjadi "Special 73,000" berbanding 'Special One"," katanya.

Menjelang pertemuan dengan Torino malam ini, Spalletti sentiasa berwaspada dengan skuad kendalian Sinisa Mihajlovic itu, terutama penyerang berbisa, Andrea Belotti.

"Mihajlovic berjiwa besar dan ia dapat disaksikan ketika sidang media. Sudah tentu pemain-pemainnya juga begitu.

"Dia seorang pengurus yang berpengalaman dan amat mengenali Inter selepas mewakili pasukan sebagai pemain dan pembantu jurulatih, sebelum ini.

"Anda harus sentiasa berwaspada dengan gerakan daripada Belotti kerana jika terlepas, sukar untuk mengejarnya semula," katanya.