Ketua jurulatih AS Roma, Luciano Spalletti, memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak 'termakan' dengan label pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Europa.

Jaguh Serie A itu mengatasi Villareal 4-0 dalam pertemuan pertama pusingan 32 minggu lalu, yang menyaksikan mereka hampir pasti untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Syarikat-syarikat perjtaruhan telah menamakan Roma sebagai pilihan juara Liga Europa selain Manchester United.

Pun begitu, Spalletti tidak berminat dengan ramalan-ramalan tersebut dan menuntut anak buahnya agar meneruskan rentak cemerlang mereka dalam pertemuan kedua di Stadio Olimpico, pagi esok.

"Saya tidak tahu apa yang bakal kami hadapi dalam pertandingan ini," katanya dalam sidang akhbar.

"Setahu saya, kami tidak memikirkan perkara lain, selain pertemuan dengan Villareal.

"Kami mahu memberikan peminat-peminat kami sesuatu untuk diraikan. Ini adalah perlawanan yang kami perlu tentukan temponya sebaik sahaja turun ke padang. Ini harus menjadi rutin buat kami.

"Kalau anda menganalisis aksi dalam pertandingan ini, anda perlu memikirkan dua perlawanan. Perlawanan pertama hanya tempoh rehat.

"Kami tidak mahu sekadar mencatatkan keputusan 0-0; kami mahu menampilkan corak permainan kami kepada mana-mana pencabar yang cuba menghalang laluan kami. Keinginan untuk melakukannya perlu menjadi rutin.

"Jika kami tidak memberi tekanan kepada lawan seperti yang kami lakukan dalam pertemuan pertama, saya akan kecewa -- pertama sekali kepada diri sendiri, bahkan kepada pemain-pemain. Tapi saya benar-benar tidak pasti dimanakah kami akan berakhir."

Spalletti turut mengesahkan Edin Dzeko -- penjaring hatrik pertemuan pertama -- dan Mohamed Salah akan direhatkan untuk perlawanan ini kerana Roma dalam persiapan menghadapi pertemuan getir di San Siro, untuk berdepan Inter dalam aksi Serie A, tiga hari kemudian.