PARMA 0 INTER MILAN 1

Luciano Spalleti memuji Ivan Perisic dan Radja Nainggolan selepas kedua-dua pemain itu bangkit daripada waktu sukar untuk memaparkan aksi terbaik ketika membantu Inter Milan menewaskan Parma 1-0 di Stadium Ennio Tardini, awal pagi tadi.


Inter mengurangkan tekanan yang dihadapi Spalletti sebaik menamatkan kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan terdahulu dengan meraih kemenangan ke atas Parma menerusi jaringan tunggal Lautaro Martinez ketika perlawanan berbaki 11 minit.

Nainggolan, yang melewati waktu sukar sejak menyertai pasukan itu dari AS Roma awal musim ini, membantu jaringan Martinez dengan melakukan hantaran terus ke kotak penalti lawan.

Perisic pula, yang mahu meninggalkan Inter dalam jendela perpindahan Januari, turut memaparkan kualiti hebat di bahagian sayap kiri.

Persembahan kedua-dua pemain itu tidak dipandang sepi Spalletti, yang memuji mereka dalam sidang media selepas perlawanan.

"Perisic memaparkan prestasi yang baik. Dia beraksi seperti pemain terbilang di sebalik suasana riuh di sekelilingnya.

"Nainggolan juga menunjukkan dia berada di landasan tepat. Dia memaparkan larian pantas yang sudah lama kami tidak saksikan.

"Ia memaksa Parma untuk bermain hantaran jauh dengan (Stefan) De Vrij dan (Milan) Skriniar bagaikan dua singa yang sentiasa mengatasi setiap situasi dengan sempurna.

"Bagaimanapun, kami masih melakukan kesilapan di bahagian depan dan sepatutnya melakukan percubaan ke gawang lawan dengan lebih baik," katanya.

Martinez menjaringkan gol itu ketika dia bergandingan dengan Mauro Icardi, Namun, Spalletti enggan menurutkan kehendak penyokong yang mahukan gandingan itu lebih kerap diturunkan.

"Lautaro memiliki semangat juang yang tinggi dan dia akan melakukan yang terbaik apabila bola sampai ke kakinya.

"Dia dan Icardi merupakan dua penyerang utama kami.

"Mereka mempunyai gaya permainan yang sama dan kami memerlukan waktu yang sesuai untuk menurunkan mereka.

"Ia akan terjadi apabila pihak lawan gemar melakukan tekanan dan kami mempunyai ketenangan fikiran untuk menyokong mereka," tambahnya.