Pengurus Inter Milan, Luciano Spalletti, mempertahankan rekodnya bersama kelab itu menjelang aksi penting bertemu Sassuolo, awal pagi esok.

Spalletti dan anak-anak buahnya menikmati 16 perlawanan tanpa kalah pada permulaan musim ini tetapi prestasi yang tidak konsisten sejak Disember lalu membuatkan mereka mungkin terlepas tiket ke Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.

Kemenangan di San Siro pada awal pagi esok akan membolehkan Nerazzurri melakukan perhitungan terakhir untuk ke pentas tertinggi Eropah itu apabila berdepan Lazio dalam aksi penutup liga musim ini.

Inter, yang kini berada di tangga kelima, ketinggalan dua mata kepada skuad bimbingan Simone Inzaghi itu dan mampu menamatkan saingan di tangga ketiga sekiranya AS Roma tewas dalam dua aksi terakhir.

“Saya tahu mengenai kekuatan lawan kami dan juga sedar kelebihan yang dimiliki oleh Juventus, Napoli, Roma dan pesaing lain,” kata Spalletti.

“Tahun lalu, Inter kekurangan 16 mata berbanding Roma dan kini mata yang kami raih menceritakan kisah yang berbeza.

“Sebagai pengurus, saya gembira dengan apa yang telah kami lakukan. Kami telah berkembang dan walaupun wujud situasi yang menyaksikan kami bergelut, kecenderungan untuk ke kelompok pasukan gergasi semakin hampir,” ujarnya

Situasi yang dilalui Inter ketika ini membuatkan Spalletti menganggap bahawa pertemuan dengan Sassuolo adalah seperti satu aksi separuh akhir.

“Perlawanan ini seperti separuh akhir buat kami. Ia satu musim yang panjang dan kemenangan dalam perlawanan ini akan membolehkan kami ke final bertemu Lazio,” katanya lagi.