Luciano Spalletti tidak bimbang mengenai masa depannya bersama Inter selepas kelab itu dikaitkan dengan Antonio Conte dan bekas pengendali, Jose Mourinho.

Inter seri 1-1 dengan juara Serie A, Juventus, semalam dan penghuni tangga ketiga itu berada di landasan untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik sejak muncul naib juara pada musim 2010-11.

Di sebalik usaha Spalletti di San Siro musim ini, bekas pengendali Chelsea, Conte, dan bekas pengurus Manchester United, Mourinho, dijangka mengambil alih tugasnya.

Apabila ditanya mengenai masa depannya bersama pasukan, Spalletti mendedahkan tidak berniat untuk meninggalkan Inter.

"Ia bukan satu masalah, kelab akan membuat keputusan," kata Spalletti. "Saya mahu bersama Inter selama 100 tahun tetapi pasukan harus diberi keutamaan dan mereka akan membuat keputusan."

Spalletti berasakan Inter berpeluang untuk menewaskan Juve, dengan penjaga gol pasukan pelawat, Wojciech Szczesny, telah menafikan lima percubaan tepat ke arah pintu gol dalam tempoh 90 minit.

Jaringan Radja Nainggolan pada minit ketujuh telah dinafikan oleh bintang Juve, Cristiano Ronaldo, yang meledak gol ke-600 dalam kariernya.

"Kami mengawal perlawanan dalam separuh masa pertama dan menghadirkan ancaman kepada pasukan lawan tetapi menjaringkan gol adalah satu tugas yang sukar. Kami telah berusaha untuk mengekalkan kualiti kami ketika melakukan hantaran.

"Selepas perlawanan bersambung, kami gagal melakukannya dan Juve menggunakan setiap peluang dimiliki.

"Kedua-dua pasukan berusaha untuk menang dalam perlawanan menarik ini. Bertahan bukan kualiti terbaik pasukan dan kami seharusnya mencari gol tambahan.

"Saya berasakan ia merupakan perlawanan yang baik kerana setiap perancangan yang telah ditetapkan berjaya dipamerkan dalam perlawanan ini," tambahnya.