Ketua jurulatih Inter, Luciano Spaletti, mahukan klausa pelepasan kontrak lebih tinggi buat kapten dan penyerang tonggak, Mauro Icardi, bagi memastikan pemain itu tidak dilamar pasukan lain.

Pemain antarabangsa Argentina itu menandatangani kontrak baharu sehingga 2021 pada Oktober tahun lalu dengan klausa pelepasan kontrak ditetapkan pada GBP100 juta (RM569 juta).

Pemain berusia 24 tahun itu telah pun menyumbat lima gol selepas tiga aksi Serie A musim ini, selepas melakar 24 gol musim lalu dan Spaletti bertekad menawarkan kontrak baru bagi menafikan tawaran daripada kelab lain setelah dikhabarkan menjadi sasaran Arsenal.

"Klausa pelepasan kontrak Icardi seharusnya ditetapkan dengan harga setinggi yang mungkin," Spaletti memberitahu Premium Sport.

"Dia berada di tahap Isco -- yang telah ditawarkan kontrak baru dengan klausa pelepasan ditetapkan pada harga GBP615 juta (RM3.5 bilion) -- dan semua pemain bintang lain."