SPAL 2013 0 JUVENTUS 0

Hasrat skuad kendalian Massimiliano Allegri untuk meraih kemenangan ke-14 berturut-turut dalam Serie A terhalang selepas diikat 0-0 oleh SPAL 2013 dalam aksi di Stadium Paolo Mazza, awal pagi tadi.


Skuad The Old Lady bertandang ke tempat lawan dalam misi untuk meneruskan kelebihan lima mata di depan pasukan tangga kedua, Napoli, dan di atas kertas, usaha itu tampak mudah tatkala Biancazzurri kini bergelut di zon penyingkiran.

Mempertaruhkan Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala di barisan depan, Juventus hampir di depan seawal minit ke-11 apabila larian deras Douglas Costa memberikan ruang buat Alex Sandro untuk melepaskan rembatan tetapi usaha itu pantas dihalang pemain SPAL, Filippo Costa.

Allegri sepatutnya mampu menarik nafas lega sekiranya peluang menerusi sepakan percuma disempurnakan Dybala pada minit ke-43, namun percubaan pemain Argentina itu sekadar mengenai palang gol sebelum keluar.

Douglas Costa sekali lagi memberikan masalah buat benteng tuan rumah selepas lima minit babak kedua bersambung, mujur Alex Meret lebih bersedia untuk menepis keluar bola rembatan kencang pemain sayap Brazil itu.

Pertahanan Juve, Giorgio Chiellini, mencuri tumpuan dengan larian pantas sebelum membuka ruang buat Dybala untuk melepaskan percubaan dari luar kotak penalti tetapi bola sekadar melewati palang gol pada minit ke-56.

Gandingan Mirko Antenucci dan Alberto Paloschi juga membuatkan benteng pelawat tergamam seketika menerusi gerakan berbahaya, namun kedudukan tetap kekal 0-0 selepas Daniele Rugani pantas menyekat kemaraan penyerang SPAL.

Pemain gantian, Mario Mandzukic, juga berpeluang untuk menghadiahkan tiga mata buat Bianconeri menerusi tandukan terbang selepas menerima hantaran lintang Costa dari sebelah kanan. Malangnya, percubaan penyerang Croatia itu tersasar.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga pengadil, Davide Massa, meniupkan wisel penamat, sekali gus memberikan Napoli peluang untuk merapatkan jurang di takhta liga kepada dua mata sekiranya mereka menundukkan Genoa, awal pagi esok.