Pengurus England, Gareth Southgate, mempersoalkan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas menyaksikan pasukannya diikat Itali 1-1 di Wembley, awal pagi tadi.

England meraih pendahuluan pada babak pertama menerusi jaringan Jamie Vardy, namun penalti saat-saat akhir Lorenzo Insigne menafikan kemenangan The Three Lions.

Pertahanan yang melakukan penampilan pertama, James Tarkowski, didakwa melakukan terjahan kasar ke atas Federico Chiesa walaupun ulang tayang menunjukkan bahawa pemain Burnley itu tidak sengaja memijak kaki pemain lawan.

"Saya lega ia masih belum Piala Dunia," kata Southgate kepada ITV Sport.

"Saya rasa hukuman itu tidak jelas dan ia tidak begitu difahami, sesuatu yang akan anda persoalkan selamanya.

"Ia tampak seperti Tarkowski memijak Chiesa tetapi ia berlaku ketika melakukan larian dan dia juga seperti mahu jatuh.

"Saya tidak fikir penggunaan VAR boleh menyempurnakan setiap masalah sepenuhnya seperti itu. Ia boleh digunakan ketika bola terkena tangan atau ofsaid tetapi anda harus membiasakan diri dengannya."

Dalam masa sama, dia tetap berpuas hati dengan prestasi skuad bimbingannya walaupun gawang dibolosi buat kali pertama dalam enam perlawanan.

"Lima minit yang awal, kami agak cuai. Kami menyesuaikan diri dengan perlawanan perlahan-lahan, mencipta banyak peluang berbanding aksi sebelum ini," tambahnya.

England akan berdepan Nigeria dan Costa Rica pada Jun sebelum berlepas ke Russia bagi menghadapi Piala Dunia 2018.