Gareth Southgate menandatangani perjanjian baharu untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya sebagai pengurus England hingga Disember 2024, menurut Persatuan Bolasepak (FA).

Ini bermakna Southgate akan kekal bertanggungjawab untuk kempen The Three Lions dalam Piala Dunia Qatar, hujung tahun depan dan kelayakan ke Euro 2024.

Pembantunya, Steve Holland, juga memeterai kontrak baharu untuk kekal dalam peranannya.





"Saya gembira kerana Steve dan saya dapat melanjutkan tempoh kami untuk peranan masing-masing.

"Untuk terus memimpin pasukan ini adalah satu keistimewaan yang luar biasa," katanya menerusi satu kenyataan FA malam tadi.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mark, John dan ahli lembaga pengarah atas sokongan mereka dan sudah tentu pemain serta kakitangan sokongan berhubung kerja keras mereka.

"Kami memiliki peluang besar di depan kami dan saya sedar mereka termasuk peminat juga teruja dengan apa yang mampu dicapai oleh skuad ini pada masa depan."